Sarawak sedia sumbang dana jayakan projek SSLR, LTB - Abang Johari

Afiezul Samit
Mac 5, 2022 13:06 MYT
GEDONG: Sarawak bersedia menyumbang dana bagi menjayakan projek infrastruktur Lebuh Raya Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan Trans Borneo bagi melengkapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dijalankan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi projek.
“Kita akan melihat keadaan, kalau prestasinya (projek) berjalan dengan baik, sudah tentu kita (Sarawak) akan menyumbangkan (dana) juga,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan persekutuan mengenai pelaksanaan projek mega tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataanya mendedahkan kerjaan bersetuju untuk menambahbaik pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak bagi memantapkan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat.
Untuk rekod fasa pertama projek tersebut di Sarawak membabitkan jajaran sepanjang 786 kilometer yang kini telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja.
BACA: Kerajaan luluskan projek pembinaan MRT3
Sementara itu Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) akan menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan.
Sebelum ini, sejumlah RM600 juta diperuntukkan untuk membina LTB yang merupakan lingkaran dalam Dataran Tinggi Borneo bermula dari Kalabakan ke Serudong, Sabah.
Jajaran itu kemudian dihubungkan ke Simenggaris Kalimantan melalui Tawau melalui kawasan Melinau untuk ke Daerah Krayan seterusnya ke Long Bawan (di Kalimantan Utara) yang terletak bertentangan dengan Ba'Kelalan sebelum ke Long Medan dan keluar semula dari Buduk Nur Ba'Kelalan yang kemudiannya dihubungkan dengan SSLR.
LTB dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang dan ia akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Indonesia.
Pembangunan | Kerajaan setuju laksana tiga projek impak tinggi
#Projek SSLR #Lebuh Raya Trans Borneo #Abang Johari Tun Openg #projek infrastruktur
;