Sarawak sedia hadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19
Alisa Spencer
Januari 18, 2022 12:23 MYT
Januari 18, 2022 12:23 MYT
KUCHING: Pakar kesihatan beri bayangan Sarawak bersedia menghadapi segala kemungkinan jika berlakunya peningkatan kes COVID-19 di negeri ini terutamanya selepas sambutan Tahun Baru Cina kelak.
Ini ekoran terdapat peningkatan kes melibatkan varian Omicron yang mudah dijangkiti dan lebih cepat menular.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Helmy Hazmi berkata kapasiti bagi fasiliti kesihatan Sarawak dilihat mampu untuk menampung kemungkinan peningkatan kes harian kerana Sarawak pernah merekodkan kes harian tertinggi sehingga lebih kepada 3,000 kes.
“Golongan muda sehingga pertengahan umur akan lebih mudah dijangkiti oleh kerana varian Omicron mempunyai tempoh inkubasi atau pengeraman yang singkat berbanding Delta.
“Walaupun kita sudah beransur kepada TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum dan Dapatkan Rawatan) seiring dengan kehidupan bersama-sama COVID-19, namun pemantauan atau pengawasan penyakit dengan gejala COVID-19 perlu dikekalkan keutuhannya.
“Gabungan surveilans dan kemampuan melakukan ujian dengan cepat serta keputusan segera akan dapat mengesan dengan awal pembentukan kluster baru serta akan dapat membantu pihak kesihatan melakukan langkah pencegahan yang lebih jitu dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.
Helmy berkata Malaysia tidak mampu lagi mengikut jejak negara China dengan langkah perintah berkurung sebagai jalan keluar dalam menghadapi virus ini.
“Yang penting sekarang ini adalah untuk tidak alpa dan meneruskan momentum kawalan sekarang. Kalau boleh jangan sampai kita perlu menggerakkan semula sumber untuk menghadapi gelombang baru.
“Sekarang, mari kita fokuskan kepada komunikasi yang berkesan untuk memastikan mesej preventif COVID-19 tidak lapuk, sampai dan dapat menerobos segenap lapisan masyarakat,” tegasnya.
Bagaimanapun, kunci bagi pengawalan peningkatan kes COVID-19 ini dari terus merebak adalah dengan pengambilan suntikan dos penggalak.
Namun, kesedaran orang awam masih berada di atas pagar untuk mendapatkan dos itu.
“Oleh itu, untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan patuh dengan prosedur standard operasi (SOP) yang diputuskan oleh Jabatan Pengurusan dan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” ujarnya.
Untuk rekod, sambutan Tahun Baru Cina hanya dibenarkan berlangsung pada hari pertama sahaja dengan ahli keluraga terdekat. Manakala, bagi had yang dibenarkan untuk berkumpul adalah mengikut saiz tempat kediaman dengan syarat 50 peratus kapasiti bilangan ahli keluarga.