Sarawak sedia beli vaksin COVID-19 jika perlu

Munirah Mudzamli
Mac 1, 2021 11:36 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan setakat ini Sarawak hanya bergantung dengan vaksin yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak mempertimbangkan untuk membeli vaksin COVID-19 sekiranya terdapat keperluan bagi meningkatkan kapasiti program imunisasi di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat ini Sarawak hanya bergantung dengan vaksin yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan satu pasukan khas yang diketuai Datuk Dr Andrew Kiyu bagi mengenal pasti kaedah untuk membeli vaksin.
“Kalau kita dapat membeli vaksin untuk menambah apa yang dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan maka kita boleh mempercepatkan proses vaksinasi untuk orang Sarawak.
“Sasaran kita adalah untuk memastikan kesemua rakyat negeri Sarawak menerima vaksin pada Ogos 2021.
“Jadi ketika ini Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan kerana kita perlu berhubung dengan mereka namun masih belum ada sebarang jawapan tentang bolehkah kita mendapatkan stok vaksin ini,” kata Uggah.
Pada 24 Februari lalu, kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat 6.20 petang.
Sebanyak 23,400 dos vaksin berkenaan diterbangkan dengan pesawat kargo penerbangan TH543 Raya Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Fasa pertama vaksinasi di Sarawak telah bermula sejak 26 Februari sehingga 31 Mac dengan sasaran seramai 97,161 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua dan ketiga dijangka bermula 1 April yang dijadual selesai pada 31 Ogos.
Sehingga jam 11.00 pagi ini, 8,323 individu telah menerima suntukan vaksin Pfizer-BioNTech di sembilan bahagian di Sarawak.
#vaksin COVID-19 #COVID-19 di Sarawak #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksinasi Sarawak #JPBN Sarawak #Pfizer-BioNTech #Douglas Uggah Embas