Sarawak sedang perinci sediakan PPV khas atau guna sekolah vaksin remaja - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
September 6, 2021 14:30 MYT
September 6, 2021 14:30 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai mekanisme yang lebih efektif untuk melakasanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri itu.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bakal menentukan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan diwujudkan berdasarkan kesesuaian lokasi tersebut.
Beliau tidak menolak kemungkinan PICK untuk golongan remaja yang bermula Rabu ini akan menggunakan bangunan sekolah sebagai PPV bergerak.
"Para pakar dalam kementerian kita sedang menilai beberapa perkara termasuk untuk menyediakan infrastruktur yang sesuai dan lebih efektif.
"Ia sama ada kita menggunakan ruangan tempat khusus atau pasukan vaksinasi kita akan bergerak ke setiap sekolah untuk melaksanakan program imunisasi ini dan perkara ini sedang kita bincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak di sini pada Ahad.
Terdahulu, Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak akan melaksanakan PICK kepada seramai 240,000 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri itu pada Rabu ini, 8 September 2021.
Keputusan itu dibuat susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.