Sarawak: Satu lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Serian

Bernama
Februari 28, 2016 00:42 MYT
Gambar fail memaparkan keadaan banjir yang diambil dari Unit Dron Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak, kira-kira 60 kilometer dari bandar raya Kuching pada 25 Feb lalu. - Foto Bernama
Sebuah pusat pemindahan baru dibuka kira-kira pukul 10 malam tadi, menjadikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di daerah Serian kepada 311 orang daripada 97 keluarga di dua pusat pemindahan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata Pusat Pemindahan banjir yang baru dibuka di Gereja Sacred Heart kira-kira 50km dari sini ketika ini menempatkan 51 mangsa daripada 14 keluarga.
Beliau berkata sementara itu jumlah mangsa di satu lagi pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Gedong pula tidak berubah seperti malam tadi.
Menurutnya paras air di kebanyakan kawasan penempatan di sekitar pusat pemindahan itu sudah surut, namun pemantauan masih diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum mangsa banjir boleh kembali ke rumah masing-masing.
Beliau berkata pusat pemindahan yang dibuka sejak kira-kira seminggu yang lalu itu dijangka ditutup hari ini selepas pihak jawatankuasa pengurusan bencana daerah membuat penilaian pada tengah harinya.
#banjir #Jabatan Pertahanan Awam #Jabatan Pertahanan Awam Malaysia #JPAM #Kuching #pusat pemidahan #Sarawak #Serian