Sarawak: Satu kes positif COVID-19 dikesan di Kuching hari ini

Syafik Shukri Jalil
Oktober 5, 2020 17:01 MYT
Kes dilaporkan bekerja di sana dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 1 Oktober 2020 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama. FOTO: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan pertambahan satu kes positif COVID-19 yang dikesan dan didaftarkan di Kuching.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, kes ke-718 ini melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang baru tiba dari Kuwait.
Kes dilaporkan bekerja di sana dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 1 Oktober 2020 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama.
“Kes kemudian meneruskan perjalanan ke Kuching melalui KLIA2 pada sebelah malam dan dilaporkan sudah menjalani ujian saringan di KLIA dan disahkan negatif COVID-19.
“Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada awal pagi 2 Oktober 2020, kes dimasukkan ke pusat kuarantin hotel untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun kes didapati positif COVID-19 pada 4 Oktober 2020 selepas menjalani ujian saringan hari kedua semasa tempoh kuarantin.
Kenyataan sama menyebut bahawa kes tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan COVID-19.
Justeru kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut pada hari sama dan kes dikategorikan sebagai kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara.
Untuk itu, siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak kepada kes ini masih dijalankan.
#COVID-19 #Sarawak #Kuching #Kuwait #Dubai #KLIA #KLIA2 #Hospital Umum Sarawak #JPBN Sarawak #KIA
;