Sarawak sasar pertumbuhan ekonomi enam peratus bagi tahun 2022 - Awang Tengah

Astro Awani
Jun 26, 2022 17:29 MYT
Awang Tengah juga berharap hubungan dagang antara Sarawak dan Australia dapat diperkukuhkan selain meneroka potensi pelaburan baharu. FOTO: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sarawak menyasarkan pertumbuhan ekonomi sekitar lima ke enam peratus bagi tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan sekitar tiga ke empat peratus pada 2021 di sebalik kelembapan ekonomi global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sasaran untuk tahun 2022 dibuat berdasarkan ekonomi negeri kembali normal selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.
‘’Walaupun berlaku kelembapan ekonomi di peringkat global, pertumbuhan ekonomi di Sarawak pada tahun lalu dianggarkan pada tiga ke empat peratus.
‘’Untuk itu melihat kepada pertumbuhan berterusan dalam sektor luar dan aktiviti domestik yang bertambah baik, ini mendorong kepada sasaran lima ke enam peratus untuk tahun ini,’’ katanya.
Awang Tengah berkata demikian semasa mengetuai delegasi Malaysia dalam rundingan meja bulat bersama dengan Australia Malaysia Business Chamber Western Australia (AMBCAW) di Perth, baru-baru ini.
Tambahnya, jumlah perdagangan antara Sarawak dan Australia pada 2021 ialah RM3.6 bilion dengan nilai eksport Sarawak ke Australia berjumlah RM1.2 bilion merangkumi petroleum, papan lapis dan urea manakala nilai import Sarawak dari Australia pula adalah RM2.4 bilion.
‘’Saya berharap kita akan dapat membincangkan lebih lanjut bagaimana Sarawak dan Australia boleh terus mengukuhkan kerjasama dalam perniagaan dan perdagangan serta meneroka potensi pelaburan baharu,’’ ujarnya.
#Awang Tengah #Ekonomi Sarawak #Hubungan dua hala #AMBCAW Australia
;