Sarawak sasar kemakmuran ekonomi, pacu agenda PCDS 2030 - Awang Tengah
Astro Awani
Jun 24, 2022 13:05 MYT
Jun 24, 2022 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Sarawak terus komited dalam usaha memangkin pertumbuhan ekonomi bagi memastikan sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030 seperti dirangka dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dapat dicapai.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini bagi membolehkan warganya mampu menikmati kemakmuran ekonomi dalam persekitaran yang mampan.
"Sarawak berhasrat membangunkan ekonominya seterusnya menjadikan negeri ini terus berkembang maju dengan memberi manfaat kepada semua warganya.
"Usaha ini bagi memastikan setiap warganya dapat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, persekitaran mampan yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang 2030.
"Sebagai memenuhi aspirasi itu, Sarawak memfokuskan kepada enam sektor ekonomi melibatkan sektor pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan kunjungan rasmi bertemu Menteri Kewangan, Hubungan Orang Asal dan Kewarganegaraan Barat Australia, Toni Buti, di Perth pada Khamis.
Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak turut menyatakan komitmen untuk terus meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan Australia memandangankan kedua-duanya kaya dengan sumber asli.