Sarawak sasar bina lebih 30,000 rumah mampu milik dalam RMK11

Bernama
Mei 30, 2015 07:00 MYT
Satu daripada cara praktikal adalah dengan membanyakkan lagi penawaran rumah mampu milik buat orang ramai, termasuk mewujudkan pelbagai peraturan untuk dipatuhi pemaju swasta. - Gambar Fail
Kerajaan negeri memohon 20,742 unit rumah mampu milik dibina di Sarawak dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) dalam usaha kerajaan menyediakan kediaman untuk orang ramai, kata Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Beliau berkata dalam tempoh yang sama sebanyak 12,222 unit rumah mampu milik dirancang untuk dibangunkan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini di samping 5,012 unit rumah yang dibina khusus untuk disewa.
Katanya ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menangani masalah kenaikan harga rumah yang adakalanya secara mendadak dan tidak munasabah, sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Muara Tebas, kira-kira 30km dari sini, beliau berkata walaupun kerajaan tidak dapat memaksa pemaju menurunkan harga rumah, namun kerajaan boleh campur tangan dalam pelbagai cara khusus untuk menangani masalah tersebut.
Katanya satu daripada cara praktikal adalah dengan membanyakkan lagi penawaran rumah mampu milik buat orang ramai, termasuk mewujudkan pelbagai peraturan untuk dipatuhi pemaju swasta.
Menurut laporan RMK11 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 21 Mei lepas, sebanyak 606,000 buah rumah akan dibina untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan akses rakyat kepada perumahan mampu milik yang berkualiti.
Selaras dengan hasrat itu kerajaan akan meneruskan program-program sedia ada yang telah berjaya dalam memenuhi keperluan perumahan untuk golongan sasar, yang merangkumi antaranya RMR1M, PPR, Program Bantuan Perumahan (PBR) untuk golongan miskin, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), serta program-program perumahan untuk generasi kedua peneroka Felda dan Felcra.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata sehingga kini lebih 890 unit rumah di bawah program RMR1M oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang memberi fokus kepada keperluan rumah bagi yang berpendapatan antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan, telah dibangunkan di Sarawak.
"Kami di Sarawak, insyaAllah akan pertahankan kedudukan kami, sekaligus akan akan menguatkan kepimpinan Kuala Lumpur (negara). Apabila dah kuat, janganlah pula lupa dengan kami di Sarawak, jadi inilah cara kita.
"Di bawah kepimpinan Datuk Patinggi (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak), kita akan berikan penekanan kepada kemajuan di Sarawak. Datuk Patinggi Najib sudah beri kita Pan-Borneo (lebuh raya), dah beri BR1M, dah beri banyak peruntukan termasuk menerusi SPNB ini, jadi kita balaslah budi orang," katanya.
#Abang Johari Tun Abang Openg #Program Perumah Rakyat #Rancangan Malaysia ke-11 #Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia
;