Sarawak sambut baik cadangan subjek Rogol Statutori di sekolah
Rudi Affendi Khalik
Januari 6, 2020 13:08 MYT
Januari 6, 2020 13:08 MYT
Sarawak sambut baik cadangan mengimplementasikan subjek Rogol Statutori di bawah subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah bermula tahun 2021.
Cadangan itu dilihat penting dalam memberikan pendedahan secara langsung kepada golongan remaja khasnya bagi mencegah kes rogol statutori daripada terus berlaku.
Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata dengan adanya subjek ini, ia juga akan membantu menyediakan pemahaman kepada remaja tentang kesan, implikasi dan hukuman kepada mereka yang terlibat dengan kes tersebut.
“Tujuan kita melakukan program ini adalah satu untuk memberi maklumat kepada kumpulan sasar kita tentang kejadian remaja hamil, remaja kahwin bawah umur, rogol statutori dan hukuman.
"Bagi rogol statutori ini, kita berharap apabila mereka mengetahui tentang perundanganya... akibatnya mereka akan memikirkan sebelum melakukan kesalahan itu," ,” katanya ketika ditemui di Kuching.
Fatimah berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang menyatakan bahawa satu silibus Rogol Statutori akan dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekolah bermula tahun 2021.
Rogol Statutori merujuk kepada hubungan seks dengan seseorang yang berada di bawah usia kerelaan (bawah umur) dari segi undang-undang.
Selain itu, tambah Fatimah, Sarawak juga telah melaksanakan satu program holistik dengan kerjasama pelbagai agensi bagi menyelesaikan masalah rogol statutori di negeri ini.