Sarawak rancang perkenal e-penduduk untuk profesional, pakar asing

Bernama
Ogos 5, 2023 09:30 MYT
Abang Johari pada pelancaran Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC) Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan, Kuching, semalam. --fotoBERNAMA
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk memperkenalkan e-penduduk bagi memudahkan kemasukan golongan profesional dan pakar dari seluruh dunia yang diperlukan oleh industri di negeri ini.
Premier Sarawak Tun Abang Haji Openg berkata beliau telah menghantar pasukan untuk mengkaji mekanisme dan pelaksanaan e-penduduk di Estonia, negara yang Sarawak boleh jadikan model bagi inisiatif itu.
"Sebaik memperoleh model itu (untuk pelaksanaan), saya akan bawa ke Dewan Undangan Negeri untuk kelulusan bagi memulakan e-penduduk ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan industri di Sarawak serta kedutaan atau suruhanjaya tinggi bagi menyaring permohonan e-penduduk sebelum meluluskannya.
"Ia mesti 'G to G' (kerajaan ke kerajaan). Kita akan gunakan data yang diberikan kerajaan negara pemohon sebelum mengeluarkan e-penduduk," katanya.
Abang Johari berkata status pemegang e-penduduk sama seperti pemastautin tetap di negeri ini dan mereka boleh masuk serta keluar Sarawak tanpa terlalu banyak masalah imigresen.
Beliau berkata e-penduduk akan menjadi perkara baharu di Malaysia tetapi ia telah dilaksanakan oleh beberapa negara berikutan pengembangan peringkat global syarikat di seluruh dunia.
"Kakitangan strategik (syarikat) akan datang (dan tinggal bagi tempoh yang singkat) tanpa banyak masalah (imigresen)," katanya.
Mengenai penubuhan pusat digital UNIMAS, beliau berkata ia langkah tepat ke arah melahirkan lebih ramai pakar digital di Sarawak demi kemajuan negeri itu dalam ekonomi digital.
"Banyak proses berasaskan teknologi, jadi universiti kita perlu berhijrah ke arah teknologi, disiplin dan proses baharu yang akan menghasilkan graduan yang sepadan dengan keperluan (industri)," katanya.
-- BERNAMA
#Sarawak #e-penduduk #pemastautin tetap #kemasukan golongan profesional dan pakar
;