Sarawak, Petronas meterai MoU tingkatkan bekalan gas asli domestik

Hasimi Muhamad
Disember 11, 2021 03:25 MYT
Pemeteraian MoU antara PETROS dan PETRONAS yang disaksikan Abang Johari pada Sabtu. - Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi meningkatkan pembekalan gas asli kepada negeri itu.
Melalui pemeteraian tersebut, akses bekalan gas asli Sarawak ditingkatkan kepada 1,200 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) berbanding 450 mmscfd, menjelang 2030 melalui pelaksanaan projek yang dikenal pasti di bawah Sarawak Gas Roadmap (SGR).
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memorandum itu juga sebagai langkah pencapaian peningkatan bekalan melebihi 250 peratus, sekali gus menjamin sumber Sarawak untuk kemajuan negeri ini.
“Untuk melaksanakan hak kami dan CSA (Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial) dengan berkesan, yang penting ialah syarikat Minyak dan gas Negeri kami - PETROS, ialah ‘One Stop Centre’ untuk mengendalikan rantaian nilai minyak dan gas Sarawak; dengan kerjasama pemain dalam pasaran termasuk pelabur dan PETRONAS,” katanya, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Pembekalan Gas Asli kepada Sarawak.
MOU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petros Datuk Saau Kakok, manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli.
Ia disaksikan oleh Abang Johari dan Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Mengenai SGR pula, Abang Johari berkata ia direka untuk merealisasikan potensi penuh sumber gas Sarawak, bertujuan mencapai Wawasan Sarawak 2030.
SGR dijangka menyumbang ke arah 10 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan yang "berpendapatan tinggi".
Tambah Abang Johari, Pada 7 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri Sarawak bersama PETRONAS turut memeterai CSA, yang akan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas.
Perjanjian itu juga membolehkan PETROS, anak syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan PETRONAS.
"Kepada PETRONAS, kami menghargai kerjasama berterusan anda dengan Kerajaan Negeri, dan dengan rakan sejawatan, PETROS, untuk menyokong realisasi agenda strategik negeri.
"Dengan pemeteraian yang kami umumkan hari ini mengenai akses kepada peningkatan bekalan 1200 mmscfd menjelang 2030 untuk tujuan domestik, kami berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan SGR kami," ujarnya lagi.
#Petros #Petronas #MoU #Abang Johari Tun Openg