Sarawak perluas inisiatif Sumbangsih Raya ke perayaan lain - Abang Jo
Bernama
Mac 7, 2025 16:49 MYT
Mac 7, 2025 16:49 MYT
Abang Johari berkata buat masa ini, inisiatif yang bermula sejak 1990 itu hanya dilaksanakan sempena Aidilfitri. - fotoBERNAMA
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperluaskan pelaksanaan program Sumbangsih Raya kepada anggota keselamatan, penguatkuasaan, dan badan beruniform yang bertugas di negeri ini semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata buat masa ini, inisiatif yang bermula sejak 1990 itu hanya dilaksanakan sempena Aidilfitri.
"Saya telah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki) supaya program ini tidak hanya dianjurkan semasa Aidilfitri, tetapi juga ketika Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
"Kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan untuk perayaan seterusnya," katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2025 di sini, hari ini.
Program itu dikendalikan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dengan pengagihan kotak sumbangsih kepada 11 agensi penerima, termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata sebanyak 12,000 kotak sumbangsih akan diagihkan tahun ini, mengandungi pek makanan dan minuman.
"Pada peringkat awal, program ini hanya melibatkan dua agensi dengan 2,000 kotak sumbangsih. Kini, jumlah penerima meningkat kepada 11 agensi dengan keseluruhan 12,000 kotak diagihkan tahun ini.
"Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam menghargai pengorbanan anggota keselamatan, penguatkuasaan, dan badan beruniform yang bertugas semasa perayaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara," katanya.
-- BERNAMA