Sarawak perkukuh polisi pembangunan bandar, pesisir pantai dengan Amerika Syarikat

Astro Awani
Julai 21, 2022 17:05 MYT
Malah lawatan itu juga turut membincangkan potensi hubungan serta kerjasama Sarawak dan Amerika Syarikat dari aspek peluang pelaburan yang ditawarkan negeri itu kepada pelabur asing.
KUALA LUMPUR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak ke New York, Amerika Syarikat bagi mempelajari pengurusan dan perancangan pesisir pantai dan pembaharuan bandar.
Lawatan kerja lima hari itu juga bertujuan sebagai penyediaan garis panduan dan polisi dasar pengurusan pesisir pantai dan perbaharuan bandar di Sarawak.
Malah lawatan itu juga turut membincangkan potensi hubungan serta kerjasama Sarawak dan Amerika Syarikat dari aspek peluang pelaburan yang ditawarkan negeri itu kepada pelabur asing.
"Ini merangkumi pelaburan dalam sektor perkayuan, pelombongan, industri petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Awang Tengah dan delegasi turut mengadakan kunjungan hormat serta taklimat bersama Pengarah Hubungan Antara Kerajaan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) serta Pembantu Setiausaha Agung Program Pembangunan PBB (UNDP), Kanni Wignaraja.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II memaklumkan kementeriannya turut bekerjasama erat dengan PBB memalui projek Pelan Pembangunan Biodiversiti Saeawak yang kini di peringkat pelaksanaan dan Polisi Pembangunan Bandar.
"Inisiatif-inisiatif ini telah mendapat pujian dan penghargaan daripada PBB dalam mana Sarawak berpandangan jauh dan aspirasi untuk mentransformasikan negeri itu sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 dengan perancangan pembangunan yang mampan dan lestari dari semua aspek," katanya.
#Pengurusan Pesisir pantai #Sarawak #Pengurusan pembangunan bandar #Awang Tengah Ali Hasan
;