Sarawak perkenal Skim Bantuan Deposit Perumahan untuk B40, M40

Azizah Alwi
Januari 10, 2022 11:03 MYT
Abang Johari (tengah) sidang media yang diadakan setelah selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi di Kuching malam tadi. - Astro AWANI
KUCHING: Skim Bantuan Deposit Perumahan akan ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 bermula Januari ini.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak akan membantu pembeli membayar deposit sehingga maksimum sehingga RM10,000.
“Bermakna, jika mereka hendak membeli rumah yang berharga bawah RM300,000, kerajaan akan membantu membayar deposit RM10,000.
“Ini khas untuk mereka yang saya nampak orang muda yang berumur lingkungan 26 hingga 30 tahun, kalau sudah kahwin, simpanan mereka belum cukup untuk membeli rumah.
“Dan kalau hendak membeli rumah, terpaksa menunggu sehingga wang deposit mencukupi,” ujarnya.
Abang Johari berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan setelah selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tdi.
Tambah beliau yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB), kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut.
Katanya, ia memberi kemudahan kepada rakyat untuk memiliki rumah di usia muda.
“Kalau membeli rumah dalam lingkungan 40 hingga 45 tahun, tempoh pembayaran adalah pendek maka mereka terpaksa membayar lebih.
“Manakala jika membeli ketika di dalam lingkungan umur 27 hingga 28 tahun bermakna tempoh pembayarannya panjang dan dia tidak bayar banyak,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta dibawah skim ini menerusi Belanjawan Negeri 2022.
#bantuan #B40 #M40 #deposit rumah
;