Sarawak perkenal 'Sarawak Pay', transformasi sistem kewangan
Rudi Affendi Khalik
September 20, 2017 18:28 MYT
September 20, 2017 18:28 MYT
Sarawak akan membangunkan aplikasi e-wallet yang dikenali sebagai 'Sarawak Pay' bagi mentransformasikan sistem kewangannya.
Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg berkata, Sarawak Pay merupakan kaedah pembayaran yang dibangunkan secara atas talian, tanpa perlu membayar tunai.
"Saya memiliki pengalaman ini di Shenzen, China dan mereka begitu maju dalam konteks teknologi ini.
"Jika anda berada di sana dan anda masih berpegang kepada konsep pembayaran konvensional, mereka tahu anda adalah orang luar," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena sambutan Ulang Tahun ke-68 Republik China di Hotel Imperial di sini malam tadi.
Turut hadir Konsul Jenderal negara tersebut, Fu Jijun.
Abang Johari, berkata, aplikasi tersebut akan dibangunkan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terkemuka China, Huawei Technologies dan dijangka akan mengubah iklim kewangan di negeri ini.
"Ketika ini sistem ini telah diguna pakai di beberapa negara lain, termasuk Indonesia dan Thailand manakala di China, kaedah ini dikenali sebagai Ali Pay," tambahnya.
Sarawak jelasnya, sentiasa menganggap China sebagai rakan dagang yang amat penting, sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1974.
"Pada tahun 1989, saya pernah mengikuti rombongan Tan Sri Rafidah Aziz ke Shenzen, China dan ketika itu kerja-kerja awal baharu bermula untuk menukarnya menjadi sebuah kota industri, daripada sebuah perkampungan nelayan.
"Ia merupakan kota uji untuk dasar ekonomi terbuka China, sekembalinya pemimpin negara itu, Den Xiaoping, dari lawatan ke Singapura dan Amerika Syarikat.
"Kini, kota Shenzen bukan sahaja muncul sebagai pesaing kepada Hong Kong, malah menjadi antara kota perniagaan yang terkemuka di dunia, yang dilengkapi kemudahan teknologi tertinggi, termasuk kelajuan internet sepantas 46 terabit," kata Abang Johari lagi.
Kerana itu tegasnya, Sarawak yang memiliki sosok geografi dan iltizam yang sama sedang mentransformasikan ekonominya kepada bentuk digital, menjadikan Shenzen sebagai model yang perlu diikuti.
Pada tahun lalu, Sarawak mencatatkan nilai eksport berjumlah RM6 bilion dengan negara satu bilion penduduk ini, dengan produk utama ialah gas cecair asli, petroleum, minyak kelapa sawit, balak dan komponen elektrik.
Manakala nilai import negeri ini dari China pula tidak kurang RM5 bilion.
Konglomerat negara tersebut juga giat menanam modal di negeri ini, termasuk dua pelaburan bernilai RM2.3 bilion di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya selain dalam beberapa sektor kejuruteraan dan agrotani.