Sarawak perkenal empat inisiatif baharu bantu PKS bernilai RM141.7 juta
Astro Awani
Februari 3, 2021 17:07 MYT
Februari 3, 2021 17:07 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan empat inisiatif baharu di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri itu terutama usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif melibatkan kos RM141.7 juta itu dijangka memberi manfaat kepada 10,000 usahawan di negeri itu.
"Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju menyediakan peruntukan RM22.2 juta untuk subsidi faedah bagi Kemudahan Pemulihan dan Bantuan Bersasar (TRRF) selain RM2.5 juta untuk Pembiayaan Pelancongan PENJANA.
"Antara lain, kerajaan negeri juga menyediakan RM20 juta di bawah Program Go Digital Sarawak dan Program Latihan Pemasaran Digital melibatkan peruntukan RM2 juta,” katanya pada sidang media Inisiatif Tambahan bagi PKS di bawah BKSS 5.0 di Wisma Sumber Alam di Kuching pada Rabu.
bagi program baharu iaitu Go Digital Sarawak dan Latihan pemasaran, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) berkata, ia selari dengan dasar ekonomi digital.
Katanya, penularan pandemik COVID-19 juga memberi peluang kepada usahawan bertukar dari perniagaan konvensional ke digital.
"Bantuan ini adalah dalam bentuk geran untuk membeli peralatan dengan maksmum RM10,000 kepada usahawan yang telah dan ingin melibatkan diri dalam keusahawanan digital e-dagang dan e-payment.
"Kita juga bersetuju melaksanakan program latihan pemasaran digital secara percuma kepada usahawan tempatan," katanya.
Sementara di bawah program TRRF dan PTF jelas Awang Tengah, kerajaan negeri bersetuju menyediakan subsidi faedah selama 42 bulan kepada PKS yang layak.
MINTRED katanya, akan bekerjasama dengan 12 bank tempatan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
Selain itu, RM90 juta ringgit diperuntukkan sebagai tambahan kepada beberapa inisiatif sedia ada merangkumi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil Dan Sederhana (SPIKS) dan program Graduan Ke Arah Keusahawan (GERAK) dan Usahawan Teknikal Dan Vokasional (USTEV).
#Sarawak
#inisiatif baharu
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#usahawan
#Sarawak bantu usahawan
#Awang Tengah Ali Hasan
#Kemudahan Pemulihan dan Bantuan Bersasar
#BKSS 5 0
#Bantuan Khas Sarawakku Sayang