Sarawak perkasa industri hiliran untuk hasilkan produk kayu bernilai tinggi
Bernama
Mac 28, 2024 05:15 MYT
Mac 28, 2024 05:15 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkasakan industri hiliran seperti penghasilan biojisim, perabot serta industri berasaskan buluh dan kayu kejuruteraan bagi meningkatkan lagi pengeluaran produk kayu nilai tambah tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah pemerkasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mentransformasi industri perkayuan negeri yang pada masa ini masih tertumpu kepada eksport produk utama.
"Justeru, pemain industri perkayuan disyorkan untuk lebih komited melaksanakan transformasi aktiviti dan operasi mereka ke arah pengeluaran produk kayu nilai tambah tinggi dengan menggunakan lebih banyak bahan-bahan mentah dari ladang hutan dan buluh," katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sumbangan Tahunan Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), di sini, pada Khamis.
Menurutnya, industri biojisim mempunyai potensi yang besar untuk diteroka dalam pembangunan ekonomi hijau.
"Produk biojisim seperti kayu pelet, biochar dan arang briket mempunyai permintaan tinggi di pasaran global kerana ia merupakan bahan bakar yang lebih mesra alam berbanding bahan bakar fosil," katanya.
Awang Tengah berkata, pengeluaran pelet kayu dari Sarawak meningkat sebanyak 130 peratus daripada 35,522 metrik tan pada 2022 kepada 81,800 metrik tan pada 2023.
Jepun, Perancis dan Korea Selatan merupakan pengimport utama produk kayu ini yang juga berpotensi besar untuk menjana tenaga hijau di Sarawak, selari dengan dasar tenaga hijau kerajaan negeri.
"Dalam masa yang sama, pemain industri perkayuan disaran untuk mengadaptasikan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang menekankan penggunaan teknologi automasi dan digital untuk lebih berdaya tahan," katanya.
Beliau berkata PUSAKA telah mewujudkan Engineered Wood Product Blueprint sebagai garis panduan pembangunan industri kayu kejuruteraan di Sarawak, selain melaksanakan inisiatif penyelidikan dan pembangunan produk secara kerjasama pintar dengan institusi penyelidikan dan pengajian tinggi tempatan dan luar negeri.
"PUSAKA juga menyediakan Pelan Pembangunan Industri Buluh Sarawak bagi membangunkan industri ini dengan lebih terancang. Nilai eksport global produk berasaskan buluh berjumlah US$68 bilion pada 2022 dan dijangka berkembang pada kadar empat peratus setahun," katanya. - BERNAMA