Sarawak pergiat pendaftaran vaksin di pejabat daerah, klinik kesihatan
Fadilah Sulaiman
Februari 21, 2021 10:02 MYT
Februari 21, 2021 10:02 MYT
KUCHING: Pendaftaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara percuma menerusi MySejahtera hanya boleh digunakan selepas pilihan itu disediakan di dalam aplikasi tersebut.
Bagaimanapun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pihaknya menerima pendaftaran di semua pejabat daerah dan klinik kesihatan.
"Agensi-agensi kerajaan negeri sedang melaksanakan proses pendaftaran vaksinasi ini. (Pendaftaran ini) menyasarkan untuk rakyat Sarawak yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera
"Ketua kampung dan tuai rumah juga bekerjasama dengan semua pejabat daerah dan klinik bagi menjayakan proses ini,” katanya.
Semalam, selepas melawat pusat operasi bagi COVID-19 di Kampung Sungai Maong dan Taman Univista yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Uggah menjelaskan rakyat Sarawak kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara percuma menerusi aplikasi MySejahtera telefon bimbit masing-masing.
Katanya, ada dua kaedah iaitu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau pergi ke klinik kesihatan dan pejabat daerah berdekatan.
Selain itu, Uggah menasihatkan orang ramai agar tidak mendaftar menerusi pihak luar yang mendakwa membantu proses pendaftaran kerana dikhuatiri disalah guna.
Beliau turut menasihatkan penduduk di pedalaman agar berhubung dengan ketua kaum atau ketua masyarakat sekiranya memerlukan penjelasan lebih lanjut.
#pendaftaran vaksin
#COVID-19
#Douglas Uggah Embas
#MySejahtera
#ketua kampung
#Pengerusi JPBN Sarawak