Sarawak mohon tingkat kapasiti ujian COVID-19 ke 5,000 sehari

Nickyson Nyambar
November 10, 2020 18:20 MYT
SSarawak memohon untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19 hingga 5,000 individu sehari, ujar Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sarawak memohon untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19 hingga 5,000 individu sehari, ujar Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, langkah tersebut diambil untuk memastikan tahap kecekapan dalam usaha menangani COVID-19 berada pada tahap maksima.
Katanya, ketika ini Sarawak hanya mampu menampung 2,400 ujian saringan sehari dan keputusannya hanya dapat diketahui tiga hari selepas ia dijalankan.
"Kalau kita dapat tingkatkan (kapasiti) kepada 5,000 (ujian) satu hari, masa menunggu kita dapat (dipendekkan).
“Kita telah berikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak) untuk mendapatkan keputusan dalam tempoh kurang dari 24 jam. Kalau boleh dalam 12 jam," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Selasa.
Seiiring dengan usaha tersebut, jelas Uggah, kerajaan negeri turut berusaha untuk meningkatkan keupayaan fasiliti kesihatan daerah.
Katanya antara hospital daerah yang dinyatakan adalah hospital Bau, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang.
"Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina sebuah makmal molekul yang baharu di Hospital Limbang. (Dengan adanya makmal ini) kita dapat meningkatkan kapasiti ujian kepada 200 sehari.
"Kalau sudah siap, (sampel ujian) pesakit dari (daerah-daerah) Limbang dan Lawas tidak perlu lagi dibawa ke Miri," tambahnya.
#Kapasiti ujian saringan COVID-19 #Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak #Tingkat ujian saringan #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #Datuk Amar Douglas Uggah Embas
;