Sarawak minta kuasa daripada Persekutuan untuk lantik jemaah PPN, PPK - Abang Johari

Bernama
September 25, 2024 13:26 MYT
Abang Johari berkata kuasa melantik yang dipegang kerajaan negeri ini akan dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan sektor pertanian di Sarawak. - Foto Bernama
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak meminta supaya kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa bagi pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Persatuan Peladang Negeri (PPN) dan Persatuan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain untuk menunaikan syarat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kuasa melantik yang dipegang kerajaan negeri ini akan dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan sektor pertanian di Sarawak.
Berucap pada Majlis Perasmian Bangunan PPN Sarawak di sini hari ini, beliau berkata kerajaan Persekutuan sudah pun menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik lembaga pengarah Persatuan Nelayan Sarawak.
"Kalau ikan (persatuan nelayan negeri) sudah dapat kuasa, berilah kuasa kepada Persatuan Peladang (Negeri dan Kawasan)," katanya.
Beliau berkata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi akan berbincang dengan Peguam Besar Sarawak Datuk Saferi Ali bagi memperincikan lagi permintaan ini untuk dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan.
Pengerusi PPN Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang berucap dalam majlis sama berkata sebelum ini, menteri bertanggungjawab bagi pertanian di Sarawak diberi kuasa untuk melantik AJP untuk PPN dan PPK.
Bagaimanapun, kuasa itu telah ditarik balik pada 2018 dan diletakkan di bawah kuasa Menteri Pertanian Malaysia, biarpun pertanian diletakkan di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, kata beliau.
"Atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Kerajaan Perpaduan, kuasa untuk melantik AJP lantikan ini haruslah diturunkan kepada Menteri MFICORD agar pentadbiran PPN dan PPK di Sarawak dapat diselaraskan mengikut dasar dan hala tuju kerajaan Sarawak," katanya.
Penurunan kuasa itu nanti dapat membantu merealisasikan wawasan Sarawak untuk menjadi pengeksport bersih produk berasaskan makanan dan meningkatkan pendapatan keluarga tani sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan menjelang 2030, tambah beliau.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #kuasa melantik #kerajaan Persekutuan #Ahli Jemaah Pengarah #Persatuan Peladang Negeri
;