Sarawak Memilih: GPS kekalkan Masing dan Liwan untuk bertanding

Astro Awani
Oktober 17, 2020 19:35 MYT
Kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mandat tetap akan diserahkan kepada rakyat menjelang PRN ke-12 akan datang untuk memilih barisan kepimpinan Bumi Kenyalang. -Gambar Astro AWANI
BELAGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Tan Sri James Jemut Masing dan ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang akan dikekalkan bertanding bagi merebut kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN 12).
Menurut Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kepimpinan Sarawak harus dibarisi oleh pemimpin yang berwibawa dan penuh kredibiliti.
Jelasnya, sifat-sifat itu ditonjolkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut yang terus komited membawa pembangunan kepada rakyat di kawasan mereka.
“Jika saya diberi kuasa untuk mentadbir, pelbagai masalah boleh diselesaikan. Akan tetapi, barisan kepimpinan GPS perlu dikekalkan.
“Ini termasuk ADUN Baleh, Tan Sri James Jemut Masing dan ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang,” katanya.
Malah menurut Abang Johari, sekiranya diberikan peluang memegang mandat rakyat bagi penggal yang seterusnya, GPS di bawah kepimpinan beliau akan terus komited dalam membangunkan keperluan serta kebajikan rakyat.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Tebingan Belaga dan pecah tanah Masjid Daerah Belaga pada Sabtu.
Untuk rekod, pada PRN Ke-11 yang lalu, James Masing telah menewaskan satu-satunya lawan beliau, Agop Linsong dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan majoriti 4,793 undi.
Manakala Liwan pula menang dengan majoriti 2,928 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ali Basah Kesing.
#PRN ke-12 #Pilihan Raya Negeri ke-12 #Tan Sri James Jemut Masing #Datuk Liwan Lagang #Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Baleh #ADUN Belaga #Gabungan Parti Sarawak #GPS #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Kekalkan kerusi
;