Sarawak manfaatkan sumber secara agresif namun penuh tanggungjawab - Abang Jo

Bernama
Oktober 20, 2022 10:00 MYT
Abang Johari (kanan) mencuba sarung tangan motosikal yang dihadiahkan kepadanya oleh Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS Tan Sri Hamid Bugo (kiri) pada majlis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Sarawak akan menggunakan potensi sumber negerinya secara agresif namun dengan penuh bertanggungjawab, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.
Beliau berkata sumber negeri seperti minyak dan gas perlu dimanfaatkan kerana Sarawak perlu mengembangkan ekonominya dan menghapuskan tanggapan ia "negeri kaya tetapi miskin".
"Kita perlu hapuskan tagline itu (negeri kaya tapi miskin).
"Hakikatnya, sumber minyak dan gas kita belum dibangunkan dengan sebaiknya untuk dinikmati dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya dalam ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-5 Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di sini, malam tadi.
PETROS, yang diperbadankan pada Julai 2017 dan dilancarkan secara rasmi pada Mac 2018, ditubuhkan untuk menerajui penyertaan kerajaan negeri dalam sektor minyak dan gas.
Abang Johari berkata sejak penubuhannya, PETROS telah diamanahkan untuk memajukan dan membangunkan usaha Sarawak, termasuk berunding mengenai butiran kedudukan komersial negeri itu dengan Petronas.
Usaha tersebut katanya, memperlihatkan kemuncak kejayaan yang dicapai sehingga membawa kepada pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) antara Petronas dan PETROS pada Disember 2020.
"Perjanjian itu termasuk penyertaan ekuiti Sarawak dalam operasi luar pesisir dan jaminan bahawa 25 peratus daripada gas negeri diutamakan untuk keperluan domestik Sarawak," katanya.
Beliau berkata kini PETROS sedang menuju ke arah pertumbuhan yang pesat dan pencapaiannya sehingga kini adalah sesuatu yang patut dibanggakan.
"Tahun lepas, PETROS menjana pendapatan RM1.2 bilion, satu pencapaian cemerlang oleh syarikat yang baru berusia lima tahun. Hari ini, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa PETROS adalah antara barisan syarikat berbilion ringgit dengan prestasi kewangan yang teguh," tambahnya.
-- BERNAMA
#sumber negeri #Abang Johari Tun Openg #Ekonomi Sarawak #Petros
;