Sarawak mahu isu penduduk tanpa dokumen pengenalan diselesai segera - Masing
Fadilah Sulaiman
Ogos 5, 2021 19:20 MYT
Ogos 5, 2021 19:20 MYT
KAPIT: Kerajaan Negeri Sarawak akan mengambil langkah sewajarnya secepat mungkin bagi membantu rakyat negeri itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut memberi jaminan usaha sedang dilaksanakan untuk mendapatkan dokumen pengenalan kepada kesemua warga tempatan yang terlibat.
Masing mendedahkan, di Long Singut sahaja terdapat 365 individu kaum Kenyah yang lahir dan membesar di situ tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Sebilangannya adalah generasi kedua dan ketiga yang dilahirkan di Long Singut.
“Bagi saya ia adalah pembaziran sumber manusia yang berbakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Antara yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di Long Singut termasuk dua remaja cemerlang memperolehi keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mengulas nasib dua remaja ini, Masing berkata potensi yang ada untuk mereka bina masa depan yang lebih cerah mungkin terbatas kerana tidak memiliki kad pengenalan.
“Nasib baik, Pejabat Residen dan Daerah di Kapit mengambil 2 wanita ini sebagai pelatih di pejabat mereka,” jelasnya.
Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut menggesa kerajaan persekutuan untuk meneliti isu di Long Singut ini kerana penduduk di situ telah menghuni kawasan berdekatan sempadan Kalimantan sejak sekian lama.
“Ibu bapa mereka berhijrah dari Kalimantan pada tahun 60-an.
“Anak-anak mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran selepas tamat tingkatan lima walaupun cemerlang dalam SPM apatah lagi memperoleh pekerjaan yang baik kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” ujarnya
Tegas Masing, isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana ia bakal memberi kesan kepada masa depan golongan muda di Long Singut
#kad pengenalan
#Sarawak
#Long Singut
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#peperiksaan
#Ketua Menteri
#James Jemut Masing
#Kenyah