Sarawak mahu belajar proses penanaman padi dari Selangor
Bernama
Jun 9, 2023 22:24 MYT
Jun 9, 2023 22:24 MYT
KUCHING: Sarawak akan mempelajari proses penanaman padi dari Selangor, terutamanya dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata ini kerana penanaman padi di kawasan Sekinchan, Selangor ketika ini cukup maju.
Beliau berkata kawasan Sekinchan kini mempunyai 75 peratus Tahap Sara Diri (SSL) padi, serta memberi pendapatan baik kepada pesawahnya.
"Jadi itu akan menjadi hala tuju kami, saya akan terus meminta pegawai saya untuk mempelajari dan mengkaji, terutama apa yang mereka (di Sekinchan) lakukan," katanya ketika merasmikan acara Ngabang Gawai di RTM Kuching di sini, hari ini.
Dr Rundi berkata pihaknya mungkin menggunakan kaedah penanaman padi di Selangor itu, sekiranya proses itu sesuai di Sarawak.
Beliau berkata perkara ini penting untuk sekuriti makanan, kerana Sarawak ketika ini mempunyai SSL padi hingga 38 peratus sahaja dan ia suatu yang sangat rendah.
Jelasnya ini menyebabkan kebanyakan keperluan padi dan beras negeri ini, diimport dari luar negara.
-- BERNAMA