Sarawak luluskan RM30 juta bagi bantu pelajar lunas pinjaman PTPTN
Astro Awani
Januari 18, 2021 19:50 MYT
Januari 18, 2021 19:50 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana berjumlah RM30 juta bagi membantu pelajar negeri itu membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Langkah itu sekali gus mengotakan janji Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sebelum ini memberi jaminan akan mencari kaedah terbaik membantu anak Sarawak membayar semula hutang PTPTN mereka.
"Kita telah berbincang dan akan memperuntukkan (dana berjumlah) RM30 juta (untuk melaksanakan insentif ini). Bagaimana cara pengagihannya untuk membantu pelajar melunaskan baki pinjaman mereka?
"Pihak kita menerusi Yayasan Sarawak bersama dengan (Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak) Dr Annuar Rapaee telah berunding dengan PTPTN dan mereka telah bersetuju dengan formula (pembayaran). Jadi pelajar kita akan dibantu dari sudut hutang PTPTN," kata beliau.
Ujarnya, rundingan itu juga bertujuan untuk menentukan kaedah pembayaran semula yang akan dimaklumkan kemudian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan dua bas sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong di pekarangan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.
Seperti yang dimaklumkan oleh Yayasan Sarawak, pemberian insentif tersebut akan membantu para pelajar menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang PTPTN mereka yang melibatkan seramai 9,634 pelajar.
Sementera itu, buat peminjam, sudah semestinya menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Mohamad Zulhisyam Aris memberitahu, perkara ini dapat meringankan bebannya terutama dalam keadaan tidak menentu ketika ini.
"Ia adalah satu keputusan yang baik daripada Kerajaan Sarawak. Sekurang-kurangnya ada dana untuk membantu rakyat Sarawak yang tidak dapat melunaskan hutang PTPTN mereka ketika masa COVID-19 ini," kongsinya.
Terdahulu, Abang Johari semasa sesi Town Hall Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur pada Oktober 2019 berjanji akan mencari mekanisme terbaik untuk membantu pelajar Sarawak membayar balik baki pinjaman PTPTN mereka.
#Sarawak bantu bayar PTPTN pelajar
#PTPTN
#Insentif Kerajaan Negeri Sarawak
#Ketua Menteri Sarawak
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional