Sarawak, LTAT tunggu kelulusan kawal selia, teruskan perjanjian jual beli ekuiti dalam Affin Bank

Astro Awani
Julai 19, 2024 09:34 MYT
Affin Bank juga boleh memperluas kelayakan prinsip tadbir urus (ESG) serta meningkatkan inisiatif pembiayaan mampannya di bawah Pelan Hala Tuju ESG lima tahun Sarawak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan meneruskan perjanjian jual beli untuk meningkatkan pegangan ekuiti dalam Affin Bank apabila mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya percaya Affin Bank akan mendapat akses kepada rangkaian Sarawak yang lebih luas, di mana ia boleh bekerjasama dan memanfaatkan keupayaan dalam pelaburan perbankan dan perbendaharaan.
Selain itu, beliau berkata Affin Bank juga boleh memperluas kelayakan prinsip tadbir urus (ESG) serta meningkatkan inisiatif pembiayaan mampannya di bawah Pelan Hala Tuju ESG lima tahun Sarawak.
"Secara lebih luas, Sarawak mempunyai beberapa inisiatif hijau yang sedang dirancang, dan saya percaya terdapat peluang bagi Affin Bank untuk menyertai dan memperluas portfolionya dalam ESG.
"Sudah tentu, Affin Bank boleh mengembangkan pangkalan pelanggan runcitnya kerana terdapat potensi yang belum diterokai dalam pasaran runcit di Sarawak. Peluang untuk bekerja dengan Affin Bank adalah luas, antara lain dalam bidang mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan LTAT di ibu negara pada Jumaat.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dalam masa sama, Abang Johari berkata kerajaan negeri percaya perjanjian jual beli itu akan memberi kesan tambahan kepada pembangunan Sarawak kerana ia menyediakan platform kewangan untuk meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta program keusahawanan.
Beliau juga yakin sinergi tersebut akan mengukuhkan kedudukan Affin Bank sebagai salah satu pemain utama dalam industri kewangan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Sarawak merancang untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank melalui cabang pelaburannya, kepada kira-kira 30 peratus, meningkat daripada 4.8 peratus semasa.
Pada masa ini, LTAT ialah pemegang saham terbesar dalam Affin Bank, memegang 28.78 peratus kepentingan, manakala unit milik penuhnya Boustead Holdings Bhd memegang tambahan 20.02 peratus.
#Abang Johari Tun Openg #LTAT #jual beli ekuiti #AFFIN BANK #Sarawak #pelaburan