Sarawak komited pelihara tujuh juta hektar kawasan hutan

Astro Awani
November 13, 2020 15:09 MYT
Kerajaan negeri menetapkan kesemua lesen pembalakan jangka panjang menerima Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang 2022 sementara Pelesen Ladang Hutan pada 2025. FOTO: BERNAMA
KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak terus komited mengekalkan kelestarian alam sekitar dengan menetapkan tujuh juta hektar untuk sektor perhutanan menerusi Dasar Guna Tanah Negeri.
Ia melibatkan enam juta hektar bagi kawasan hutan kekal dan satu juta hektar sebagai kawasan terlindung sepenuhnya.
Inisiatif itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa sesi penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
“Pada masa kini, litupan hutan di Sarawak adalah 63 peratus yang merupakan tertinggi di Malaysia.
“Di samping itu, Sarawak telah mewartakan 46 taman negara, 15 rizab semula jadi dan lima sanktuari hidupan liar dengan keluasan 2.1 juta hektar yang merangkumi kawasan tanah dan air,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, turut mengumumkan inisiatif memperluaskan kawasan Heart of Borneo (HOB) daripada 2.1 juta kepada 2.7 juta hektar yang mengunjur dari Lawas ke Tanjung Datu, Kuching.
Pelaksanaan inisiatif ini adalah bagi memanfaatkan aktiviti eko-pelancongan, penyelidikan dan pembanguna serta projek sosio ekonomi komuniti.
Antara lain, kerajaan negeri menetapkan kesemua lesen pembalakan jangka panjang menerima Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang 2022 sementara Pelesen Ladang Hutan pada 2025.
Langkah ini bagi memastikan hutan di negeri itu diurus dengan mampan dan memenuhi piawaian antarabangsa agar produk kayu dapat dipasarkan secara kompetitif.
#Persidangan DUN Sarawak #Kelestarian alam sekitar #Dasar Guna Tanah Negeri #kawasan hutan kekal #kawasan terlindung sepenuhnya #Awang Tengah Ali Hasan
;