Sarawak komited jadi pengeluar utama tenaga hidrogen menjelang 2027
Astro Awani
September 7, 2022 18:21 MYT
September 7, 2022 18:21 MYT
SEOUL: Sarawak terus komited dalam usahanya menjadi pengeluar hidrogen secara komersial menjelang 2027.
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, usaha itu mampu menjadikan negeri Bumi Kenyalang sebagai hab pengeluaran utama tenaga tersebut.
Bagi mencapai visi tersebut, Sarawak melancarkan pelbagai inisiatif membangunkan industri itu berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
‘’Sarawak Energy ketika ini sudah mengkomersialkan penggunaan tenaga hidrogen menerusi kemudahan mengisi hidrogen di Kuching dan saya percaya ini adalah yang pertama di Asia Tenggara.
‘’Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pula akan mula mengeluarkan tenaga hidrogen di stesen bahan api Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menjelang akhir tahun ini.
‘’Malah pembangunan fasiliti tenaga hidrogen di Rembus bagi kegunaan Autonomous Rapid Transit (ART) menjelang 2024,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) awal antara Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan tiga syarikat utama Korea Selatan melibatkan Samsung, Lotte dan Posco di Seoul pada Rabu.
Menerusi MOU itu, Abang Johari berkata ia juga mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara khususnya Sarawak.
‘’Saya berbangga menyaksikan majlis menandatangani MOU ini dan tidak sabar melihat kerjasama ini terus berkembang.
‘’Menerusi kerjasama seperti ini, ia diyakini membolehkan pengeluaran hidrogen berskala besar yang pertama di Sarawak sedia untuk dieksport menjelang 2027,’’ katanya lagi.
Pada Ahad, Abang Johari dan anggota delegasinya berlepas ke ibu negara Korea Selatan itu dengan matlamat antara lain meningkatkan perkongsian dengan industri korea dalam bidang penjanaan tenaga hijau dan inovasi.