Sarawak komited dalam membangunkan fasiliti rawatan hemodialisis
Astro Awani
Mei 28, 2020 19:38 MYT
Mei 28, 2020 19:38 MYT
Kerajaan Negeri Sarawak komited menunaikan janjinya untuk membantu pesakit buah pinggang dalam mendapatkan bantuan rawatan.
Menurut Menteri Kebajikan, Wanita, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, ini terbukti dengan adanya 45 pusat rawatan hemodialisis di negeri itu.
Jelasnya, 25 daripada pusat rawatan tersebut adalah di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pusat rawatan swasta (11) dan badan bukan kerajaan (sembilan).
Ujarnya, kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan kemudahan rawatan tersebut.
“Di bawah KKM, terdapat 314 mesin hemodialisis. Sebanyak 112 daripada keseluruhan mesin berusia lebih lapan tahun. Mesin-mesin ini perlu diganti dengan mesin baharu,” kata Fatimah pada sidang media Bantuan Pesakit Buah Pinggang pada Khamis.
Dalam pada itu, Fatimah menambah, KKM juga sedang berusaha untuk menambah baik fasiliti rawatan hemodialisis dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta setahun bagi setiap negeri di Malaysia.
Sehingga kini, seramai 34 orang pesakit telah memohon untuk menerima bantuan ini.
Menurut salah seorang penerima bantuan rawatan buah pinggang, Muhd Nur-Afiq Rambli, 22, yang bekerja sebagai pemandu E-Hailing, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya.
“Bantuan ini meringankan beban ibu bapa saya. Jadi, keluarga saya tidak perlu membayar kos rawatan”, jelas Afiq.
Katanya setelah lima tahun menjalani rawatan dengan pembiayaan sendiri, tahun ini dia bertuah kerana menerima bantuan tersebut.
Dia mula menderita penyakit buah pinggang sejak berusia 10 tahun lagi dan mula mendapatkan rawatan seawal umur 17 tahun.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Datuk Seri Fatimah Abdullah
#Hemodialisis
#Menteri Kebajikan Wanita Kesejahteraan Komuniti Keluarga dan
#Rawatan buah pinggang