Sarawak kekal untung hasil SST walau harga minyak mentah menurun - Abang Jo
Fadilah Sulaiman
Ogos 11, 2022 10:50 MYT
Ogos 11, 2022 10:50 MYT
KUCHING: Sarawak diunjurkan kekal mendapat untung hasil jualan minyak mentah biarpun harganya dilaporkan menurun kepada AS$95 setong pada Julai lalu.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini Belanjawan Sarawak 2022 telah menetapkan harga yang lebih rendah kepada AS$70 satu tong.
“Ada berita baik untuk masa depan, kami memerhatikan harga minyak mentah dengan sangat serius.
“Seperti yang anda tahu harga minyak mentah berlegar antara AS$100 dan AS$110, tetapi hari ini sudah AS$95 setong, tetapi apa pun, saya rasa ini akan memberi kesan positif kepada hasil negeri kerana bajet kita berdasarkan AS$70 setong.
“Oleh itu akan ada peningkatan dalam anggaran pendapatan negeri daripada SST (cukai jualan negeri) kita,” katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam dan Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) 2021/2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Untuk rekod, Belanjawan Sarawak 2022 mengunjurkan perbelanjaan RM10.136 bilion dengan anggaran pendapatan RM10.036 bilion, menjadikan bajet tersebut defisit RM610 juta.
Sumbangan terbesar kepada anggaran pendapatan adalah cukai jualan negeri (SST) berjumlah RM3.876 bilion, dengan RM813 juta dikutip pada suku pertama 2022.