Sarawak kaji tempat penyimpanan vaksin COVID-19, ambil kira kawasan pedalaman

Astro Awani
Disember 23, 2020 11:34 MYT
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, persiapan ini perlu dilaksanakan bagi memudahkan segala prosedur berkaitan vaksin tersebut. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk menilai kesediaan kemudahan tempat penyimpanan vaksin COVID-19 di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa khas itu juga akan memastikan proses logistik vaksin berkenaan di seluruh negeri itu mencukupi serta mengikut spesifikasi ditetapkan.
Malah beberapa faktor perlu diambil kira termasuk infrastruktur dan demografi setiap kawasan di Sarawak terutama kawasan pedalaman.
“Pasukan itu diketuai Datuk Andrew Kiyu dan Datuk Dr Jamilah Hashim dan Dr Chin Zin Hing (Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak). Pasukan ini akan membuat cadangan kepada kerajaan negeri apa kemudahan yang perlu disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.
BACA: COVID-19: Vaksin percuma kepada rakyat Sarawak
Selain itu, Uggah berkata, segala persiapan tersebut perlu dilaksanakan bagi memudahkan segala prosedur berkaitan vaksin berkenaan.
“Kawasan di Sarawak pertamanya luas dan banyak kawasan pedalaman mungkin susah untuk dilalui.
“Ketiga, vaksin Pfizer memerlukan tempat penyimpanan yang sejuk dan kita perlu bersedia, apabila vaksin datang nanti kita tidak kelam kabut,” kata Uggah.
#penyimpanan vaksin di Sarawak #vaksin untuk rakyat Sarawak #faktor penyimpanan vaksin #vaksin Pfizer di Sarawak #JPBN Sarawak #Douglas Uggah Embas #COVID-19 di Sarawak