Sarawak: JPBNS pinda syarat kemasukan bagi pekerja industri minyak dan gas
Syafik Shukri Jalil
September 3, 2020 17:56 MYT
September 3, 2020 17:56 MYT
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis mengumumkan pindaan kepada syarat kemasukan bagi pekerja industri minyak dan gas di negeri itu.
Terbaharu, semua rakyat Malaysia tidak perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum ke pelantar namun diwajibkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
Perkara itu diumumkan Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Khamis.
Sebelum ini pada Selasa 1 September 2020, JPBN Sarawak mengumumkan rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah, Labuan yang bekerja dalam sektor industri minyak dan gas di negeri itu perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum bergerak ke pelantar.
Mereka hanya akan dibenarkan ke pelantar sekiranya disahkan negatif COVID-19 menerusi dua ujian saringan yang akan dijalankan pada hari kedua dan kesepuluh.
Namun tiada pindaan ke atas bagi warganegara asing dan rakyat Malaysia yang balik dari luar negara.
“Sebelum ke pelantar, mereka tetap wajib menjalani saringan COVID-19 dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” kata Uggah.
Antara lain pindaan juga diumumkan khusus bagi pekerja industri tersebut yang pulang ke darat dari pelantar menerusi proses sign off.
“Semua pekerja dari pelantar minyak ke darat akan diambil saringan secara rawak dan tidak perlu menjalani kuarantin,” tambah Uggah.
Terdahulu pada 1 September 2020, JPBN Sarawak mengumumkan, warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin setibanya dari pelantar dan perlu menjalani ujian saringan pada hari kedua.
Namun mereka akan dibenarkan balik tanpa perlu menyambung baki kuarantin sekiranya keputusan ujian saringan disahkan negatIf COVID-19.
Sementara itu, Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes kekal dengan 699 kes setakat ini.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#industri minyak dan gas
#JPBNS
#Kuching
#Labuan
#pelantar minyak
#Sabah
#Sarawak
#Semenanjung