Sarawak: JPBN garis prosedur baharu sebelum dan selepas ke pelantar minyak
Syafik Shukri Jalil
September 1, 2020 17:43 MYT
September 1, 2020 17:43 MYT
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu khusus bagi pekerja industri minyak dan gas di negeri itu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Selasa, rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah, Labuan dan pekerja asing yang bekerja dalam sektor industri minyak dan gas di negeri itu perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum bergerak ke pelantar melalui proses sign on.
Mereka bagaimanapun hanya akan dibenarkan ke pelantar sekiranya disahkan negatif COVID-19 menerusi dua ujian saringan yang akan dijalankan pada hari kedua dan kesepuluh.
Kos sepanjang tempoh kuarantin dan kos ujian saringan adalah di bawah tanggungan majikan.
“Keputusan sama juga terpakai buat mereka yang meninggalkan pelantar menerusi proses sign off, namun akan dibenarkan pulang ke lokasi masing-masing selepas disahkan negatif menerusi ujian saringan pada hari kedua.
“Bagi warga Sarawak kos kuarantin dan ujian saringan akan ditanggung oleh kerajaan negeri Sarawak manakala bukan rakyat negeri itu, segala kos adalah dibawah tanggungan sendiri,” ujar kenyataan itu.
SOP juga ditetapkan bagi pekerja asing yang sign off di pelantar luar negara manakala bagi mereka yang sign off dalam negara, akan menjalani tempoh kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan dan segala kos melibatkan kuarantin dan ujian saringan adalah di bawah tanggungan sendiri.
Sementara itu, Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu menjadikan jumlah kes positif kekal 699 kes.
JPBN Sarawak juga melaporkan tiada pertambahan kes yang pulih dan discaj menjadikan angka itu kekal dengan 663 kes atau 94.85 peratus.
Sehingga kini, 17 kes masih dirawat di wad isolasi melibatkan 11 kes di Hospital Bintulu, lima di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes di Hospital Miri.
Manakala 24 kes Person Under Investogation (PUI) baharu dilaporkan.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Hospital Bintulu
#Hospital Miri
#Hospital Umum Sarawak
#industri minyak dan gas
#JPBNS
#PUI
#Sarawak
#sign off
#sign on