Sarawak jalin kerjasama dengan Indonesia bangunkan kuasa hidroelektrik di Kalimantan

Astro Awani
Februari 17, 2020 14:26 MYT
Terdahulu Abang Jo dedahkan bahawa Indonesia nyatakan hasrat usahasama dengan Sarawak yang punya kepakaran dalam bidang hidro. FOTO: Astro AWANI
Kepakaran Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dalam membangunkan kuasa hidroelektrik mendapat perhatian kerajaan Indonesia.
Ia terbukti apabila Sarawak Energy bakal menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Republik itu bagi membangunkan empangan hidroelektrik di Kalimantan.
Ini sebagai sebahagian persediaan Indonesia membangunkan kuasa elektrik grid dalam merealisasikan pemindahan ibu kota Jakarta ke Kalimantan Timur menjelang 2024.
BACA JUGA: Indonesia tukar ibu negara ke Kalimantan: Perlu keperluan pembangunan jalan sempadan
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sekiranya kerjasama ini menjadi kenyataan, ini bermakna Sarawak Energy mempunyai kepentingan di seluruh Borneo.
“Jadi sekarang kita ada inisiatif di antara kerjasama Indonesia dan Malaysia dalam kerjasama di bidang kuasa, pihak kita telah dipinta untuk membantu membangunkan kuasa hidro di sebelah Kalimantan.
“Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah meminta supaya ia dapat dilaksanakan dan Insya Allah minggu depan saya akan berkunjung ke Jakarta dengan menteri yang bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu Abang Jo mendedahkan bahawa Indonesia nyatakan hasrat usahasama dengan Sarawak yang punya kepakaran dalam bidang hidro.
Fasa pertama pemindahan Jakarta ke Kalimantan Timur bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2024.
Manakala tempoh pembangunan ibu kota baharu itu dijangka ambil masa 15 hingga 20 tahun.
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Hidroelektrik #Indonesia #Jakarta #Joko Widodo #Kalimantan Timur #Sarawak
;