Sarawak ikut kerajaan pusat, buka tabika mulai 1 Julai

Astro Awani
Jun 15, 2020 11:06 MYT
Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan pembukaan prasekolah dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) mulai 1 Julai depan.
Langkah ini seiring keputusan Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Baca: Ayuh kembali ke sekolah! 24,410 prasekolah, tabika dibenarkan mulai 1 Julai
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kementerian Wanita, Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KWKPK) telah mengemukakan Prosedur Operasi Standard SOP untuk pembukaan tabika di negeri itu.
"SOP sedang diperhalusi dan kita telah memutuskan tadika boleh beroperasi mulai 1 Julai 2020.
"Perincian SOP berkenaan akan diumumkan menteri berkenaan," kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Sementara itu Uggah turut memaklumkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan mengumumkan SOP baharu esok mengenai perkhidmatan yang boleh dijalankan.
Ia termasuk SOP baharu bagi perkhidmatan gunting rambut selain gunting rambut dan SOP pembukaan semula pusat kecantikan mulai 17 Jun ini.
#COVID-19 #Douglas Uggah Embas #ismail sabri yaakob #JPBNS #Kanak-kanak #keluarga #kerajaan #keselamatan #Ketua Menteri #menteri #PKPP #prasekolah #Sarawak #sekolah #SOP #TABIKA #tadika #wanita