Sarawak harus perkukuh industri hidrogen
Fadilah Sulaiman
November 13, 2020 18:26 MYT
November 13, 2020 18:26 MYT
KUCHING: Sarawak harus memperkukuhkah kedudukannya dalam sektor hidrogen memandangkan potensi industri itu dalam jangka masa panjang.
Ini kerana, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg strategi hidrogen Kesatuan Eropah menjangkakan nilai pasaran industri tersebut mencecah 11 trillion USD dalam tempoh 20 tahun lagi.
“Tetapi saya baru mendapat dokumen itu pada 8 November 2020 yang mana strategi Kesatuan Eropah mengenai hidrogen mengatakan bahawa pasaran pada tahun 2030, 2050 akan menjadi sekitar 11 trilion dolar.
“Potensinya ada dan Sarawak mesti meletakkan kedudukan kita kerana kita mempunyai sumber untuk menghasilkan hidrogen. InshaAllah di bawah GPS kita akan mencapainya,” katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Sarawak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Terdahulu Abang Johari telah menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Eksplorasi Komersial Hidrogen Hijau antara Sarawak Energy Berhad dan PETRONAS.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan untuk semua inisiatif ini termasuk kolaborasi dengan sector swasta.
“Perkembangan ini menandakan keyakinan sektor swasta terhadap potensi besar pengeluaran hidrogen di Sarawak. Saya juga dapat merasakan keyakinan pelabur antarabangsa untuk mengubah krisis menjadi peluang, dalam merintis pengembangan hidrogen hijau di rantau ini,” katanya.
#industri hidrogen
#Sarawak
#Abang Johari Tun Openg
#pendapatan Sarawak
#pasaran industri hidrogen
#tenaga