Sarawak hanya terima lima peratus Bajet Pembangunan Negara - Awang Tengah

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 1, 2022 15:34 MYT
Tegas Awang Tengah, Sarawak tidak akan mampu setaraf dengan Semenanjung jika terus menerima hanya lima peratus Bajet Pembangunan Negara daripada kerajaan persekutuan. - Foto Bernama
KUCHING: Sarawak meletakkan sepenuh keyakinan dan harapan agar kerajaan perpaduan yang terbentuk nanti akan bersikap lebih adil kepada negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan kerajaan baharu ini juga perlu menyediakan Sarawak dengan peruntukan yang lebih banyak bagi merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
“Jika ini berlaku, Sarawak tidak akan mampu untuk setaraf dengan Semenanjung jika kerajaan persekutuan terus memperuntukan hanya sekitar lima peratus Bajet Pembangunan Negara kepada Sarawak.
“Ini amatlah tidak wajar, adalah menjadi harapan dan hak rakyat Sarawak juga sebagai rakyat Malaysia untuk disediakan dengan peruntukan yang mencukupi demi taraf kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam ucapan penggulungannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri, dan Pelaburan Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak di sini pada Khamis.
Tambahnya lagi, selepas 59 pembentukan Malaysia, masalah sekolah daif, jalan raya teruk, bekalan air dan elektrik tidak mencukupi, klinik desa dan hospital yang tidak selesa dan banyak lagi yang sepatutnya tidak lagi berlaku di Sarawak.
“Kita mahu peruntukan yang lebih besar bukan sahaja untuk pembangunan dari segi infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang dan pelabuhan yang lebih baik dan efisien tetapi juga untuk pembangunan kemudahan asas yang lain seperti bekalan air, elektrik dan sistem telekomunikasi yang lebih moden.
“Kita juga mahu peruntukan yang lebih besar untuk membangunkan infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Ini adalah merupakan perkara yang penting untuk kita selesaikan.
“Pada masa yang sama, kita juga berhak untuk mendapatkan peruntukan yang lebih besar bagi pembangunan Estet Perindustrian, premis perniagaan dan mempertingkatkan program pembangunan sosio-ekonomi serta program pembasmian kemiskinan,” ujarnya lanjut.
Sementara itu beliau menegaskan menerusi Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Kerajaan Sarawak telah berjaya mencapai beberapa perkara.
“Bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara dan tuntutan yang masih perlu dipertimbangkan segera oleh Kerajaan Persekutuan seterusnya antaranya semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, penyerahan semula tanah rizab bagi maksud persekutuan di Sarawak.
“Antara lain Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak, pelantikan wakil kerajaan Sarawak sebagai anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perkhidmatan Awam dan Borneonisasi, dan Isu Pertambahan Ahli Dewan Rakyat,” tambahnya.
#Perjanjian Malaysia 1963 #Kerajaan Perpaduan #Awang Tengah Ali Hasan #Sarawak
;