Sarawak hantar wakil ke Lisbon, rangka kertas kerja perdagangan karbon

Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 26, 2022 15:03 MYT
Kerjaan negeri juga meminda Kanun Tanah Negeri yang membolehkan membentuk undang-undang bagaimana untuk pengurusan karbon. - Astro AWANI
MIRI: Kerajaan Sarawak sedang meneliti protokol industri karbon antarabangsa sebelum memperkenalkan kertas kerja konkrit berhubung perdagangan dan penyimpanan karbon di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah menghantar wakilnya Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni ke Lisbon, Portugal untuk mengkaji proses komersial ekonomi baharu itu di peringkat global.
“Kerjaan negeri juga telah meminda Kanun Tanah Negeri ini yang membolehkan kita membentuk undang-undang bagaimana untuk menyimpan dan memperdagangkan karbon.
"Dr. Hazland telah berkunjung ke Lisbon dan sedang menjalinkan kerjasama bersama institusi VERRA (Verified Carbon Standard) untuk menghasilkan sebuah kertas kerja mengenai perdagangan karbon mengikut protokol antarabangsa yang perlu kita (Sarawak) dipatuhi,” katanya.
Beliau berucap semasa majlis penyerahan kontrak pembinaan Ibu Pejabat Huluan Shell kepada kontraktor Pantai Bayu Indah di Miri Times Square pada Jumaat.
Tambah Abang Johari, Sarawak sangat bertuah kerana kedudukan dan ciri geologinya membolehkan negeri itu melaksanakan ekonomi hijau berkenaan selari dengan kriteria serta kaedah dagangan karbon global.
“Selain memiliki tanah yang luas untuk menyimpan karbon, struktur geologi tanah di kawasan tersebut juga perlu stabil, dan kita bernasib baik Sarawak tidak berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’.
“Sama seperti Sabah, walaupun negeri itu ada mengalami sedikit gegaran, berbanding di bahagian Selatan Borneo ada kepulauan Jawa yang berada dalam lingkaran tersebut, Sarawak masih tenang dan boleh menyimpan karbon,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datu Handen Mohammad memberitahu pihaknya akan mengeluarkan lesen karbon hutan sebagai langkah awal aktiviti perdagangan karbon di negeri itu dalam masa terdekat.
Ia melibatkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti antaranya hutan simpan kekal, dan Hutan Paya Bakau yang masih berpotensi dengan litupan hutan seluas 8.77 juta hektar.
Untuk rekod, satu hektar hutan di Sarawak boleh menyimpan karbon serendah 250 sehingga 530 tan metrik karbon.
#ekonomi baharu #jual beli karbon #Sarawak #industri karbon
;