Sarawak Energy, Petronas kerjasama terokai pengeluaran hidrogen

Munirah Mudzamli
November 11, 2020 12:44 MYT
Kerjasama Sarawak Energy dan Petronas bakal meletakkan Sarawak sebagai hub rantaian hidrogen di rantau ini - Foto Astro AWANI
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memformalkan kerjasama bagi menerokai pengeluaran dan bekalan komersial rantaian hidrogen hijau di Asia.
MoU ini menandakan kejayaan penting dalam usaha Sarawak meningkatkan dan menceburi bidang eksport tenaga hidrogen bagi memenuhi permintaan tenaga bersih global selain meletakkan Sarawak sebagai hub rantaian hidrogen.
Majlis secara atas talian itu disaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Dalam reaksinya Abang Johari menyifatkan perkongsian data antara dua syarikat besar ini dapat meningkatkan potensi rantaian bekalan hidrogen di Asia.
“Saya yakin hidrogen mempunyai peranan yang sangat penting untuk masa depan walaupun kos pengeluaran pada masa ini sedikit tinggi.
“Seiring perubahan waktu dan dengan adanya teknologi pengeluaran yang cekap, ada kebarangkalian kos pengeluaran akan berkurang sehingga berdaya saing dengan bahan bakar yang lain,” jelasnya.
Tambah Abang Johari, hasil kolaborasi ini amat penting agar sumber yang ada sekarang dapat dimanfaatkan potensinya berdasarkan keperluan dunia dan sebagai salah satu pendekatan tenaga hijau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili memaklumkankerjasama ini sebagai tonggak penting sejajar aspirasi Sarawak untuk menceburi bidang pengeluaran dan penggunaan hidrogen dalam pelbagai industri.
“Saya percaya kolaborasi ini akan memberi manfaat kepada semua yang terlibat, dan memperkukuhkan keupayaan penyelidikan kita serta memperluaskan pengetahuan dalam teknologi berkaitan hidrogen dan pembangunan untuk kita menyesuaikan diri dengan peralihan pembaharusn dalam landskap tenaga global,” ujar Sharbini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik turut menekankan mengenai kolaborasi ini.
Katanya ia membantu meningkatkan lagi perkongsian tenaga selama empat dekad dengan Sarawak yang kini menyenaraikan hidrogen sebagai pembawa tenaga bersih.
“Berdasarkan pengalaman kami dalam menghasilkan hidrogen biru, kami sangat teruja untuk menerokai pembangunan infrastruktur dengan lebih jauh untuk menghasilkan hidrogen biru dan hijau sebagai bekalan tenaga bersih yang boleh dipercayai,” tambahnya.
Kolaborasi ini akan memberi manfaat kepada Sarawak Energy kerana PETRONAS mempunyai kelebihan pasaran, iaitu permintaan hidrogen dari Jepun dan Korea Selatan.
#Sarawak #Sarawak Energy #Petronas #MoU #Malaysia #Korea Selatan #Asia #hidrogen #Abang Johari #Tengku Muhammad Taufik #Datuk Sharbini Suhaili
;