Sarawak Energy berjaya pulihkan gangguan bekalan elektrik
Bernama
Disember 21, 2024 06:00 MYT
Disember 21, 2024 06:00 MYT
KUCHING: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku akibat trip pada generator di Loji Hidroelektrik Bakun (HEP) petang tadi, di beberapa bahagian di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri telah dipulihkan sepenuhnya kepada pelanggan yang terjejas.
Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan berikutan gangguan pada 12.57 tengah hari itu, bekalan elektrik telah dipulihkan secara berperingkat mulai 1.10 tengah hari, dengan hampir kesemua kawasan berjaya dipulihkan pada 2.20 petang.
"Semua kawasan perumahan telah pulih pada 3.11 petang," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy James Ung dalam kenyataan itu, berterima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan kefahaman mereka, kerana pasukan teknikal syarikat telah berusaha memulihkan bekalan sepanjang tempoh tersebut.
"Kami mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menstabilkan grid dan kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan berikutan pemulihan sistem di HEP Bakun. Kami telah melancarkan siasatan segera bagi mengenalpasti punca kejadian.
"Sarawak Energy amat kesal atas kesulitan yang dialami pelanggan kami yang terjejas akibat gangguan sementara itu, pada ketika pihak teknikal kami berusaha untuk memulihkan bekalan kuasa dengan selamat dan pantas," katanya dalam kenyataan itu.
Pelanggan yang ingin melaporkan mengenai gangguan bekalan elektrik boleh menghubungi Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui aplikasi mudah alihnya 'SEB cares'.
-- BERNAMA