Sarawak desak AirAsia bayar balik tiket penerbangan dibatalkan - Lee Kim Shin
Azizah Alwi
Januari 5, 2021 19:23 MYT
Januari 5, 2021 19:23 MYT
KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, menjelaskan pembatalan penerbangan AirAsia AK6090 dari Kota Kinabalu ke Sibu pada 3 Januari lalu disebabkan ia tidak mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Tegasnya, JPBNS dan Kementerian Pengangkutan Sarawak memberi perhatian khusus kepada perancangan dan kekerapan penerbangan ke Sarawak dari Sabah, kerana mengambil kira keadaan semasa COVID-19 di negeri berkenaan.
“Kita telah meminta penjelasan daripada pihak AirAsia Berhad menerusi e-mel bertarikh 3 Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Lee memberitahu, kecuaian pengawasan dalaman AirAsia Berhad menyebabkan mereka telah membuka jadual penerbangan tersebut dan menawarkan tiket yang salah kepada orang awam.
"Pembatalan jadual penerbangan ini sudah tentu menyusahkan orang ramai," katanya.
Kementerian Pengangkutan Sarawak katanya lagi, memandang serius perkara itu dan berpendapat insiden berkenaan tidak adil bagi orang ramai.
“Kami berharap kesilapan tersebut tidak berulang pada masa akan datang.
"Mengenai penerbangan yang tidak diluluskan ini, kami mendesak AirAsia Berhad membayar kembali kos penerbangan kepada penumpang yang telah membeli tiket," tambahnya.
Lee turut mengingatkan semua syarikat penerbangan agar sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
“Mereka perlu patuh kepada peraturan penerbangan dan kekerapan yang telah disetujui oleh JPBNS dan Kementerian Pengangkutan Sarawak," ujarnya.
#Sarawak
#penerbangan
#AirAsia
#Menteri Pengangkutan Sarawak
#Lee Kim Shin
#tiada kebenaran
#bayar semula
#bayar balik
#harga tiket
#penumpang
#pelanggan
#dibatalkan
#Sibu
#Kota Kinabalu