Sarawak dan LTAT tandatangan MoU beri manfaat enam sektor utama
Astro Awani
Julai 19, 2024 19:15 MYT
Julai 19, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak hari ini menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera LTAT dalam meneroka potensi kerjasama, perkongsian maklumat serta penyediaan sokongan antara satu sama lain.
Ringkasan AI
- Kerjasama Strategik: Kerajaan Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk meneroka potensi kerjasama dalam enam sektor utama: pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan, dan perkhidmatan.
- Inisiatif Pembangunan: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan bahawa kerjasama ini adalah permulaan kepada peluang yang lebih besar dan merupakan sebahagian daripada usaha mencapai matlamat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, termasuk promosi ekonomi hijau dan pembangunan infrastruktur.
- Sokongan dan Manfaat Bersama: Kolaborasi ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan Sarawak melabur dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, serta sambungan telekomunikasi dan internet.
Berucap pada majlis tersebut, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama dengan LTAT memberi peluang unik untuk Sarawak khususnya dalam enam sektor utama iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan, serta perkhidmatan.
Jelas beliau, kolaborasi pertama antara kerajaan negeri dengan LTAT disifatkan sebagai permulaan kepada peluang dan potensi yang lebih besar, sekali gus mewujudkan platform bagi Sarawak untuk terus bekerjasama dengan LTAT.
"Inilah sebuah acara yang berkesan bagi kami kerana inisiatif ini menandakan usaha kami untuk bekerjasama dalam niat bersama dengan LTAT untuk kolaborasi yang berpotensi, yang merupakan kepentingan bersama dan memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
"Ia sememangnya peristiwa yang tidak dapat dilupakan bagi kami kerana inisiatif ini menandakan usaha kami untuk bekerjasama dalam niat dengan LTAT untuk menjalin kolaborasi yang berpotensi, mempunyai kepentingan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya dalam majlis yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk mencapai matlamat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ia antaranya mempromosikan ekonomi hijau dengan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hidro, solar terapung, hidrogen, serta penangkapan dan penyimpanan penggunaan karbon.
Dalam masa sama, Sarawak juga katanya sedang melabur secara besar-besaran dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, serta sambungan telekomunikasi dan internet.
LTAT yang ditubuhkan pada Ogos 1972 merupakan badan berkanun yang mengendalikan skim pencen untuk angkatan tentera.