Sarawak catat tiga kes pertama COVID-19

Nickyson Nyambar
Mac 13, 2020 04:37 MYT
Ini merupakan kes pertama COVID-19 di Sarawak dan tiga mangsa diuji positif. - Gambar fail
Sarawak mencatatkan kes pertama COVID-19 dengan tiga individu didapati positif virus berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) hari ini.
Menurut Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua daripada mangsa didapati positif setelah mengikuti sebuah majlis keagamaan, "Ijtimak" di Masjid Sri Petaling, Selangor yang berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac, lepas.
Manakala, kes ketiga adalah dari ahli keluarga salah seorang mangsa.
“Oleh itu, kami meminta mereka yang terlibat dalam majlis tersebut dan mereka ini yang berada di Sarawak untuk segera melaporkan diri ke hospital berdekatan untuk tujuan pemeriksaan
“Sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengesan 236 peserta dan akan terus mengesan yang selebihnya, katanya.
Sehingga kini, Jabatan Kesihatan Sarawak telah mengesan 236 peserta majlis berkenaan bagi menjalani pemeriksaan.
Tambah Uggah, JPBN Sarawak turut memberi jaminan bahawa pihak Jabatan Kesihatan Sarawak bersedia dengan sebarang kemungkinan akibat COVID-19 di hospital-hospital yang dikhaskan iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah menyeru peserta kumpulan tabligh yang menghadiri ijtimak berkenaan untuk tampi membuat saringan kesihatan sebagai langkah-berjaga-jaga.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Dr Adham Baba #Jabatan Kesihatan Sarawak #Sarawak