Sarawak catat sifar kes positif COVID-19, kekal 569 kes

Syafik Shukri Jalil
Jun 22, 2020 16:04 MYT
Manakala sebanyak 27 kes Person Under Investigation baharu dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal. FOTO: BERNAMA
Sarawak kembali mencatatkan sifar kes positif COVID-19 di negeri itu pada Isnin.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu kekal dengan 569 kes setakat ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin, tiada kes baharu dilaporkan sembuh dan discaj untuk hari ini.
“Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj di negeri ini kekal dengan 535 orang atau 94.02 peratus," kata kenyataan itu.
Sejumlah 27 kes Person Under Investigation (PUI) baharu dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal.
Antara lain seramai 117 Person Under Surveillance (PUS) dilaporkan telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.
Angka terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 14 buah hotel adalah seramai 917 orang dan sehingga kini 16,520 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #JPBNS #kuarantin #Kuching #Person Under Investigation #Person Under Surveillance #Sarawak
;