Sarawak catat pertambahan dua kes positif COVID-19 di Limbang
Syafik Shukri Jalil
November 30, 2020 17:44 MYT
November 30, 2020 17:44 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari tanpa kes, Sarawak hari ini kembali melaporkan pertambahan dua kes positif COVID-19 di Limbang.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin, kedua-dua kes melibatkan warga tempatan yang tiba dari Labuan.
“Mereka merupakan pelajar yang menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan dan dibenarkan pulang setelah kolej matrikulasi tersebut diarahkan tutup.
“Ujian saringan pada 23 November 2020 mendapati mereka positif COVID-19 dan dikategorikan sebagai kes import B kerana mendapat jangkitan semasa berada di Labuan,” kata kenyataan itu.
Justeru pengesanan kontak rapat sedang dijalankan.
Selain itu, dua kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih dan discaj kepada 1022 atau 96.05 peratus.
Antara lain enam kluster di Kuching dilaporkan kekal aktif melibatkan Kluster Abell, Kluster Seladah, Kluster Greenhill, Kluster Baki, Klsuter Besi dan Kluster Wisma Saberkas.
#COVID-19
#kes positif di Sarawak
#kluster aktif di Sarawak
#laporan JPBN Sarawak
#kes COVID-19 di Limbang
#kes imposrt B di Sarawak