Sarawak bina makmal di setiap daerah, perkukuh STEM

Bernama
September 23, 2023 20:07 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan untuk membina makmal itu dibuat setelah mengambil kira keadaan makmal di sekolah-sekolah di negeri itu yang kurang lengkap. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina makmal di setiap daerah bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan anak muda di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan untuk membina makmal itu dibuat setelah mengambil kira keadaan makmal di sekolah-sekolah di negeri itu yang kurang lengkap.
Beliau berkata makmal itu nanti boleh digunakan secara berkongsi antara sekolah dalam satu daerah.
"Saya dapati sekolah di Sarawak kini tidak mempunyai makmal lengkap melainkan Sekolah Sains. Makmal sangat penting terutamanya untuk pembelajaran biologi, kimia dan fizik.
"Makmal yang lengkap penting kerana pembelajaran melalui buku sahaja berbeza dengan secara praktikal," katanya berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di sini hari ini.
Abang Johari berkata selain memperkukuh pendidikan STEM di sekolah, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) sebagai usaha melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.
-- BERNAMA
#Sarawak #sains teknologi kejuruteraan dan matematik #Pendidikan STEM #Makmal #Abang Johari Tun Openg
;