Sarawak bina benteng Sungai Simunjan bernilai RM100 juta

Astro Awani
Mac 10, 2021 16:42 MYT
Abang Johari turut menyifatkan pembangunan infrastuktur di Simunjan mampu melonjakkan pembangunan ekonomi di daerah itu. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina benteng yang dianggarkan bernilai di antara RM80 ke RM100 juta bagi mengelak hakisan di pekan Simunjan dan kawasan sekitarnya.
Pembinaan dijangka bermula tahun depan itu akan mengambil kira penilaian kajian termasuk kajian hidrologi dan tanah sekali gus teknologi yang digunakan.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bagi tujuan tersebut penggunaan teknologi akan diaplikasikan berdasarkan struktur dan keadaan tanah.
“Untuk itu perkara ini akan dikaji dan jurutera terlibat akan melakukan kajian walaupun menelan belanja yang agak besar.
“Ini kerana kita mahu membina benteng ini dari penghujung pekan Simunjan sehingga ke penghujung Kampung Sageng. Pembinaan ini juga membantu membangunkan pekan Simunjan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan dan tinjauan ke tapak hakisan projek penahan hakisan sungai di Simunjan, Samarahan pada Rabu.
Tambahnya, pembinaan benteng itu merupakan tambahan satu lagi projek penahan hakisan dalam usaha meningkatkan piawaian keselamatan di kawasan sungai.
Projek itu akan terus diperluas di pesisir pantai Sarawak khasnya di Samarahan yang terjejas akibat fenomena hakisan sungai semula jadi.
Selain itu, Abang Johari turut menyifatkan pembangunan infrastuktur di Simunjan mampu melonjakkan pembangunan ekonomi di daerah itu.
Sebagai contoh ujarnya, dengan pembinaan jajaran jalan raya, ia membantu memudahkan sektor ekonomi dan perhubungan rakyat setempat.
“Dengan adanya projek seperti pembangunan jalan raya, ia akan dapat menghubungkan Simunjan terus ke Samarahan dan juga Gedong dengan terus ke Serian.
“Malah dalam tempoh lima tahun lagi, perjalanan ke Kuching juga boleh dipendekkan kepada satu jam daripada empat jam sebelum ini seterusnya banyak kemudahan lain boleh dibangunkan di pekan Simunjan ini,” tambahnya.
#Benteng hakisan Simunjan #pembangunan Simunjan #akses ke Simunjan #Projek infrastruktur Sarawak #akses ke Samarahan #Abang Johari Tun Openg
;