Sarawak beri penekanan penguasaan kecerdasan buatan (AI)

Astro Awani
Oktober 8, 2020 14:43 MYT
Persidangan IDECS 2020 dengan tema Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity kali ini dianjurkan secara maya dengan penglibatan pelbagai pihak dari seluruh dunia. -Gambar Astro AWANI
KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi penekanan dalam penguasaan kecerdasan buatan atau Artificial intelligence (AI) dalam kalangan rakyatnya.
Jelasnya Sarawak perlu bergerak pantas bagi meningkatkan keupayaan menguasai teknologi digital yang dilihat amat relevan dalam konteks masyarakat kini.
Ini kerana Sarawak amat kaya dengan sumber data biodiversiti yang nyata mempunyai potensi untuk dibangunkan, seterusnya menyumbang kepada sumber pendapatan negeri.
“Dalam perspektif Sarawak, kita mempunyai banyak data geologi. Kita mempunyai banyak data semula jadi, tetapi kita kekurangan cara memproses data.
“Dan proses ini adalah berdasarkan teknologi digital iaitu kecerdasan buatan (AI). Dengan kata lain anda harus menggunakan AI agar dapat menganalisis data dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020
Tambahnya lagi kerajaan negeri akan bekerja keras dalam pelbagai aspek demi melahirkan generasi professional dan cekap menerusi program pembangunan teknologi negeri itu.
Salah satu daripada caranya adalah dengan membuka pintu kepada pakar dari negara luar.
Dengan cara tersebut ruang yang ada dapat dimanfaatkan dengan menyalurkan data sedia ada ke saluran yang tepat seperti yang dilakukan oleh negara lain.
Beliau mengambil contoh Singapura yang kini giat membangunkan teknologi digital mereka.
“AI dilihat mudah alih, tetapi ia memerlukan seseorang untuk memahaminya.
“Pada tahap ini, pendidikan memainkan peranan penting. Kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa bahasa teknologi adalah bahasa antarabangsa, iaitu Bahasa Inggeris,” katanya.
Persidangan IDECS 2020 dengan tema ‘Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity’ dianjurkan secara maya dengan penglibatan pelbagai pihak dari seluruh dunia.
#IDECS 2020 #Sarawak #Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak IDECS 2020 #AWANI Sarawak #Astro Awani #ekonomi digital #Artificial intelligence AI #Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
;