Sarawak benarkan dine-in di premis makanan

Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 15, 2021 19:35 MYT
Keputusan itu telah dikemas kini dalam SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi perkhidmatan perlu (sektor-sektor ekonomi peruncitan) Sarawak.
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan semula premis makan beroperasi secara dine-in berkuat kuasa esok.
Keputusan itu telah dipersetujui jawatankuasa itu bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan selepas mengkaji semula dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) di premis makan.
JPBN Sarawak dalam satu kenyataan pada Khamis berkata hanya operator termasuk semua pekerja yang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 dibenarkan beroperasi secara dine-in.
"Pemilik premis wajib memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa selain mematuhi tetapan susun atur dan penjarakan fizikal.
"Susun atur atau jarak antara meja adalah dua meter dan kedudukan antara pelanggan perlu penjarakan fizikal satu meter selain kapasiti pelanggan dihadkan kepada 50 peratus keluasan lantai dan tidak melebihi 100 orang pada satu-satu masa.
"Maksimum kapasiti pelanggan dibenarkan dine-in bagi meja berdiameter 1 meter 2 orang, 1.2 meter 4 orang, 2 meter ke atas adalah 6 orang," katanya.
Selain itu, bagi pelanggan yang datang, beberapa protokol kesihatan sedia ada telah ditambah baik dengan memastikan hanya pelanggan dengan status kurang berisiko termasuk kontak kasual kurang berisiko dalam aplikasi MySejahtera dibenarkan masuk ke kompleks atau premis masing-masing.
"Bagi mereka yang berstatus kontak rapat, individu di bawah pengawasan (PUS), individu di bawah siasatan (PUI) tidak dibenarkan memasuki premis dan perlu dilapor kepada Pejabat Kesihatan Bahagian," katanya.
Keputusan itu telah dikemas kini dalam SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi perkhidmatan perlu (sektor-sektor ekonomi peruncitan) Sarawak.
JPBN Sarawak turut memberikan amaran tegas kepada semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
"Menutup serta-merta selama 14 hari jika berlaku penularan kes positif di premis yang dibenarkan beroperasi. Kos-kos saringan dan sanitasi akan ditanggung oleh operator atau pemilik premis.
"Pihak penguat kuasa juga mengenakan kompaun jika operator atau pekerja gagal mematuhi SOP yang ditetapkan," jelasnya.
#JPBN Sarawak #dine-in #SOP #Sarawak #Kuching #premis makanan #kebenaran dine-in
;